Rabiatul Adawiyah
adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah.
Kesabaran dan perjuangannya harus dicontohi oleh wanita Islam hari ini.
Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak
mentaati Allah, akhirnya dia memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan
hidup.
Kisah bermula pada zaman dahulu
di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab, kebanyakan sekolah agama
telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama, tetapi
terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki
sampannya Rabiatul Adawiyah akan mendendangkan lagu yang merdu ketika
mendayung sampan. Rabiatul Adawiyah sentiasa di samping ayahnya
hinggalah dia dewasa. Apabila ayahnya meninggal dunia. dia menggantikan
tempat ayahnya sebagai pendayung sampan dan mendendangkan lagu yang
merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu menarik hati seorang lelaki
untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja dan dia terpaksa
berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang arak kepada
raja dan tetamu raja.
Suatu hari timbul kesedaran di
hatinya dan merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana kejahilannya
itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu Rabiatul
Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk
bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan
kerja yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan
ular dan kala jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja
tidak senang melihat dia sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular
tersebut menerkam pengawal raja. Rabiatul Adawiyah tetap tenang,
walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu menjalankan ibadat
kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik, kelihatan dia
sedang munajat memohon doa kepada Allah. Di dalam kegelapan biliknya
kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja
bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul
Adawiyah dan jangan lagi menyeksanya, kemudian raja melihat Rabiatul
Adawiyah berpakaian serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke
bilik Rabiatul Adawiyah untuk melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih
ada atau sudah pergi. Kelihatan Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan
berdoa.
Sampai habis tempoh masa
Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja.
Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa
daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa
saja sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumahnya telah
roboh dan penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia
meminta orang menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu
malam, seorang pencuri terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia
ingin pergi mencuri di situ. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat.
Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam rumah Rabiatul Adawiyah melainkan
sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan ingin bunuh Rabiatul
Adawiyah. Apabila dia mengeluarkan pisau dan ingin menikam Rabiatul
Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul
Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa
yang dia inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin
membunuhnya. Lalu dia menyuruh pencuri itu mengambil wudhuk dan bersolat
serta memohon pada Allah apa yang dia inginkan. Lalu pencuri itu
bersolat dan meminta pada Allah agar mendapat rezeki yang banyak supaya
dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.
Pada masa yang sama di luar
kelihatan kereta kuda yang membawa banyak harta yang menuju ke arah
pondok Rabiatul Adawiyah. Raja menghantar orang untuk memberi Rabiatul
Adawiyah harta yang banyak. Apabila orang itu datang menemui Rabiatul
Adawiyah kerana ingin menyerahkan harta itu, Rabiatul Adawiyah
mengatakan dia tidak pernah meminta harta dari Allah tetapi orang di
sebelahnya yang memohon kepada Allah jadi berikanlah harta itu kepada
orang yang memintanya. Pencuri itu gembira kerana mendapat harta dan dia
membuat sebuah mahligai yang indah. Pada suatu hari ada seorang lelaki
menemui pencuri itu dan bertanya bagaimana dia mendapat harta yang
begitu banyak dalam sekelip mata. Dia pun menceritakan kisahnya kepada
lelaki itu. Lelaki itu menjelaskan kepadanya bahawa wanita yang
ditemuinya itu adalah wali Allah. Dia berasa terkejut dan menyesal
kerana tidak berterima kasih kepada Rabiatul Adawiyah lalu dia ke pondok
Rabiatul Adawiyah untuk menemuinya. Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang
nazak. Akhirnya Rabiatul Adawiyah pergi menemui Kekasihnya.
No comments:
Post a Comment