“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
(Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
‘Khusyuk’ ialah hati sentiasa hidup, manakala khusyuk dalam solat adalah menghadirkan
hati kepada Allah SWT di dalam solat. Ia merupakan hakikat batin yang
sebenar-benar bagi suatu solat. Hakikat zahirnya pula adalah perbuatan
anggota seperti berdiri, membaca, rukuk, sujud, duduk dan sebagainya.
Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam:“Solat itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyukan hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Perkara-perkara berikut perlulah diamalkan dan diperhatikan oleh setiap mukmin bagi mengekalkan solat yang khusyuk:
Sebelum mendirikan Solat
Sebelum mendirikan Solat
Menjaga makanan, minuman dan pemakaian.
Khusyuk itu berkaitan dengan kerja hati.
Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya
daripada benda-benda yang haram atau tidak halal. Oleh itu, pastikan apa
yang kita makan, minum, pakai, tempat tinggal dan lain-lain hendaklah
datang dari punca dan sumber yang halal tanpa syubhah.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Ketahuilah!
Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik baiklah badan
seluruhnya dan apabila ia rosak rosaklah sekaliannya. Ketahuilah!
Itulah ya dikatakan hati.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.
Membersihkan diri dan bersugi.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jika
tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia
nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak solat.” (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)
.
Wudhuk yang sempurna
Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya
air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat. Sebab
kesempurnaan solat juga terletak kepada kesempurnaan wudhuk.
Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie
daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan solat Subuh
bersama Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam dan Baginda membaca
surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda terganggu. Lalu
apabila selesai solat Baginda bersabda: “Sesungguhnya
bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu
yang solat bersama kami tidak menyempurnakan wudhuk mereka. Oleh itu,
siapa yang mendirikan solat bersama kami, maka sempurnakanlah
wudhuknya.” (Hadits riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie)
Di samping itu sebahagian kelebihan
wudhuk itu dapat menjauhkan seseorang daripada gangguan syaitan. Saidina
‘Umar RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Sesungguhnya wudhuk yang baik itu mengusir syaitan daripada engkau.”
.
Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Jangan memakai pakaian yang kurang
selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu
ketat dan sebagainya.
Ditegah bersolat dengan pakaian yang ada
gambar, berwarna warni, bertulis, lukisan dan lain-lain kerana ia juga
membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah.
.
Jangan solat dalam keadaan lapar.
Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan
segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih
dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan
ketidakselesaan ketika menunaikan solat.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “Jangan
solat ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan
jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)
.
Jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.
Sabda Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam: “…dan jangan solat dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim)
.
Pilih tempat solat yang menenangkan
Pilih tempat solat yang suasananya tenteram, selesa, tidak
bising dan sebagainya. Termasuklah dengan memastikan telefon bimbit
dimatikan sebelum solat.
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan
bahawa makruh menunaikan solat di tempat orang lalu lalang, kerana yang
demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan solat seseorang.
Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma: “Bahawa
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam menegah mendirikan solat pada
tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur,
tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan
di atas Baitullah.” (Hadits riwayat at-Tirmidzi)
.
Gunakan Sejadah Tidak Mengganggu
Menggunakan sejadah yang tidak terlalu
banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran. Pastikan supaya tidak
ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan
hati di tempat sujud.
Diriwayatkan daripada Saidatuna ‘Aisyah
RadhiAllahu ‘anha bahawa Nabi ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah
mendirikan solat di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek
lukisan, lalu Baginda bersabda: “Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadits riwayat Muslim)
.
Pastikan tiada gangguan
Tersebut dalam satu riwayat bahawa
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda kepada seorang
sahabat bernama ‘Utsman bin Thalhah RadhiAllahu ‘anhu: “Aku
lupa untuk menyuruhmu menutup dua tanduk kibasy (dari pandangan orang).
Maka sesungguhnya tidak sepatutnya ada di rumah sesuatu yang mengganggu
orang yang solat.” (Hadits riwayat Abu Daud)
Imam an-Nawawi Rahimahullah menjelaskan
mengenai riwayat di atas bahawa ianya memberi petunjuk akan galakan
supaya menghindarkan atau menjauhkan apa-apa yang dikhuatiri melalaikan
hati dari khusyuk ketika mendirikan solat.
Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah
bin ‘Umar RadhiAllahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau
pedangnya di tempat solatnya, juga tulisan atau surat. Semuanya
diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat
olehnya.
.
Solat Di Awal Waktu
Mendirikan solat di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apakala masa hampir luput.
KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SOLAT
Azan dan iqamah
Kumandangkan Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan solat bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.
.
Lakukan Solat Secara Berjemaah
Berusahalah melakukan solat secara
berjemaah kerana iaadalah suatu tuntutan dan syi‘ar agama Islam. Selain
pahala solat berjemaah itu melebihi solat seorang diri dengan dua puluh
tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang solat
berjemaah itu akan memperolehi kekhusyukan ketika bersolat dan
terselamat daripada perkara yang lagha dan boleh melalaikannya.
.
Menghadirkan Hati.
Maksudnya ialah sebelum mendirikan solat
kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang
tidak ada sangkut-paut dengan ibadat solat yang dikerjakan.
Abu Darda’ RadhiAllahu ‘anhu berkata: “Antara
tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya
terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan solat supaya dia masuk ke
dalam solat dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”
.
Mengingatkan Mati
Agar pemikiran tidak liar, sebelum solat
ingatkan diri bahawa kematian seolah-olah amat hampir dengan kita dan
solat tersebut kemungkinan merupakan solat yang terakhir sekali dalam
hidup kita dan perlulah dijadikan yang terbaik.
Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham RadhiAllahu ‘anhu bahawa ditanyakan kepadanya tentang solatnya, beliau beliau menjawab: “Apabila
tiba waktu solat aku menyempurnakan wudhuk dan aku mendatangi tempat di
mana di situ aku hendak mendirikan solat. Lalu aku duduk pada tempat
itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri
menunaikan solatku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian
ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di
sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka solat ini
adalah solatku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap
dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan
bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan
khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak
kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku
ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada solatku
diterima atau tidak?”
.
Membaca Zikir
Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.
Umpamanya seperti membaca:
a.) Surah an-Nas
b.) Ta‘awudz
c.) Tahlil:
لاَ إِلَهَ إِلاَّ الله
“Tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah.”
d.) Zikir:
امنا با الله و برسوله
“Kami beriman dengan Allah dan rasul-rasulNya.”
.
Berusaha Melawan Gangguan Syaitan
Antara tipu daya syaitan ialah
memesongkan atau memalingkan perhatian semasa solat. Caranya
ialah dengan memalingkan hati kita dari meneliti dan memahami apa yang
sedang kita baca. Dari situ kita akan hilang renungan untuk hari akhirat
dan keikhlasan ibadat yang dilakukan. Adakalanya sehingga seorang itu
boleh menjadi ragu dan was-was tentang bilangan rakaat yang telah
ditunaikannya, adakah sudah cukup atau masih lagi kurang.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RadhiAllahu ‘anhu bahawa Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya
salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan solat syaitan
akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu
sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya.” (Hadits riwayat Muslim)
KETIKA MENUNAIKAN SOLAT
Meneliti Dan Memahami Bacaan Solat
Meneliti bacaan-bacaan dalam solat, sama
ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain dari
ayat-ayat al-Quran (tasbih dan takbir dan doa). Jika boleh, fahami makna
bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan
hati dalam solat. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita
baca.
Membaca dengan baik (Khusnul Qori’ah),
berusaha untuk memahami dan mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat
Al-Quran yang dibacakan, terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan
maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan
dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan
oleh orang yang melaksanakannya.
.
Merendahkan Diri
Salurkan rasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam rukuk dan sujud serta dipanjangkan tempoh masa rukuk dan sujud.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud.” (Hadis riwayat Muslim)
.
Mengagungkan Allah SWT
Meliputkan hati dengan kebesaran Allah
dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh
gerak-geri dalam solat. Timbulkan Rasa Malu (Haya’) iaituperasaan malu terhadap Allah SWT dan merasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.
.
Menghindari Dari Memikirkan Hal Keduniaan
Meninggalkan segala fikiran dan lintasan
hati yang berkaitan dengan urusan dunia. Hati diajak hadir/ikut,
kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan
yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.
.
Tumpuan Penuh Pada Solat
Segala perhatian dalam solat itu
hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang
terbaik sekali. Rukun-rukun solat perlu dilakukan secara tertib.
Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih) sambil menyedari bahawa Allah SWT sentiasa memperhatikan solat itu.
.
Mengurangkan Pergerakan Anggota Badan
Mengurangkan pergerakan anggota-anggota
seperti tangan, kaki dan juga Mata ditumpukan kepada tempat sujud dan
ketika tasahut melihat anak jari.
.
Sentiasa Melihat Tempat Sujud
Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun
orang itu buta atau bersolat di dalam gelap kecuali ketika membaca
perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang
solat itu dialihkan ke jari telunjuknya.
Jika memejamkan mata boleh mendatangkan
khusyuk dalam solat seseorang itu, maka dibolehkan dia berbuat begitu
dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam
an-Nawawi.
.
Lakukan Solat Dengan Thuma’ninah
‘Thuma’ninah’ (ketenangan), maksudnya anggota seseorang itu tetap diam atau berhenti seketika ketika melakukan ssesuatu ‘rukun fi‘li’ (perbuatan)
di dalam solat seperti rukuk, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke
rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam
tempoh pada kadar bacaan zikir: “سبحان الله” (SubhanAllah).
Maknanya, setiap pergerakan di dalam
solat itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, cepat-cepat atau dengan
kelam-kabut tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks.
.
Rasulullah ShallAllahu ‘alaihi wasallam ada mengajar kita tentang perkara ini di dalam sabda Baginda: “Apabila
kamu berdiri menunaikan solat maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat
al-Quran yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu
berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu
berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam
keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam
keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua solat kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Solat yang berkesan untuk membentuk seseorang mukmim yang solehah adalah apabila kita mendirikan solat dengan penuh khusyuk. memang tak dinafikan bukan senang nak khusyuk dalam solat tapi yang penting tidak mudah berputus asa dan sentiasalah gerakkan diri kita
berusaha untuk mendapatkannya. Jangan lupa juga untuk banyak-banyak
memohon doa kepada Allah Ta‘ala supaya dikurniakan kepada kita hati yang
bersih dan khusyu‘ dalam beribadat kepadaNya.
Orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia hanyalah
hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul
serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT:
“Jadikanlah
Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu
sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Iaitu)
orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan
bahawa mereka akan kembali kepadaNya.”
(Surah Al-Baqarah : ayat 45-46).
Semoga ilmu yang sedikit ini dapat membantu sahabat2 dalam menunaikan solat dengan penuh kekhusyukkan dan ketenangan disamping meraih keredhaan dari Allah swt.. SELAMAT BERIBADAT SEMUA
No comments:
Post a Comment