Monday, February 13, 2012

Amanah Itu Penting!!

Ketika Rasulullah SAW sedang berkhutbah tiba-tiba datang seorang lelaki bertanya bilakah berlakunya kiamat. Rasulullah SAW tidak mengendahkan soalannya lalu meneruskan ucapan Baginda sehingga sahabat-sahabat yang hadir terfikir mungkin Rasulullah SAW marah kerana lelaki berkenaan bertanya dengan cara yang tidak beradab yakni bertanya ketika Baginda sedang berkhutbah.
.

Sesetengahnya ada yang berfikir kemungkinan Rasulullah SAW tidak mendengar soalan itu yang menyebabkan Baginda tidak menjawab pertanyaan lelaki berkenaan. Ada pula yang terfikir mungkin Rasulullah SAW akan menangguhkan jawapannya selepas selesai apa yang ingin diberitahu dalam khutbahnya itu.

Selesai khutbahnya barulah Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Mana dia orang yang bertanya tentang kiamat tadi?" Lalu lelaki berkenaan berkata: "Saya di sini, wahai Rasulullah." Rasulullah SAW lalu bersabda: "Akan berlaku kiamat apabila disia-siakan amanah." Lelaki berkenaan bertanya lagi: "Bagaimanakah mempersia-siakan amanah itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW bersabda: "Apabila diserahkan urusan orang Islam kepada orang yang bukan ahlinya (termasuk ahli maksiat, orang jahil yang tidak mengerti agama) maka tunggulah kiamat." Ini menandakan kemusnahan akan berlaku kepada umat manusia ketika itu.

Orang yang menunaikan amanah diberi pahala yang besar. Allah SWT telah menegaskan tentang amanah memerintah negara sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: "...dan apabila kamu menghukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu menghukum dengan adil..." (QS An-Nisa': 58) Ayat ini menegaskan bahawa setiap hukuman mestilah selari dengan ketetapan Allah SWT.

Ad-Dahhak berkata dalam masalah perundangan, saksi diminta dari orang yang mendakwa (menuduh) dan sumpah dari orang yang engkar (yang didakwa). Hakim yang membicarakan kes di mahkamah, dia hendaklah meminta saksi dari siapa yang mendakwa seseorang. Saksi mengikut hukum Islam ialah saksi yang adil dan sumpah dipertanggungjawabkan ke atas orang yang engkar. Ayat ini lebih utama ditujukan kepada pemimpin-pemimpin. Sekiranya mereka menunaikan kewajipan dengan betul, nescaya mereka mendapat kelebihan dan pahala yang besar di sisi Allah SWT seperti yang dijanjikanNya.

Sabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya orang-orang yang adil pada hari kiamat akan berada di atas mimbar-mimbar daripada cahaya di sebelah kanan Tuhan Yang Rahman dan kedua-dua Tangan-Nya adalah kanan (tangan yang layak dengan Allah, tidak sama dengan makhluk)."

Semuanya berada di kanan, tiada yang kiri di sisi Allah SWT. Kita tidak boleh fikir bagaimanakah keadaan-Nya. Allah sahaja Yang Maha Mengetahui segala-galanya. Orang-orang yang adil ketika menjatuhkan hukuman dan orang-orang yang ahli diserahkan segala urusan keahliannya, apabila menunaikan amanah mendapat kelebihan dan ganjaran yang besar dari Allah SWT.

Setiap manusia menjadi pemimpin mengikut kadar masing-masing. Sabda Rasulullah SAW: "Setiap kamu adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinan kamu (rakyat kamu), orang lelaki memimpin keluarga, anak isterinya dan akan ditanya berhubung dengan rakyatnya. Perempuan (isteri) memimpin rumahtanga suaminya dan akan ditanya berkenaan dengan rakyatnya. Hamba yang menjaga harta tuannya akan ditanya berhubung dengan rakyatnya. Dan setiap kamu adalah pemimpin dan setiap orang akan ditanya berkenaan dengan rakyatnya."

Wallahua'lam.


No comments:

 
This Template Was Made & Design With Love By AlHumayrahOnlineShop. All Right Reserved To Me.