Friday, June 14, 2013

Ujian..Ujian.. Muhasabah Diri



Tika pena berlari di atas sebuah kanvas kosong, terasa hati ini seperti itulah jua.

Kosong.
Kosong bukan bermakna tidak ada.
Bukan pula bermakna tidak sedar.
Diri ini masih tersedar.
Cuma ingin dikosongkan fikiran daripada semua masalah-masalah yang datang menjengah.
Tanpa henti. Ujian itu akan terus mengelilingi.
Sungguh, hidup ini tidak akan pernah sunyi daripada namanya ujian.
Kerana ujian itu perlu.
Kerana ujian itu pasti.
Kerana manusia itu perlukan ujian.
Biarpun diri tidak mampu, biarpun hati tidak mahu tetapi ALLAH Maha Tahu kita perlu diuji.
Untuk setiap kata yang dilafazkan. Apakah ia benar seperti yang dikata-katakan?
Untuk setiap perbuatan yang diamalkan. Apakah ia sudah mencapai darjah keikhlasan?
Semuanya perlu diuji….
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: kami telah beriman, sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (al-Ankabut: 2-3)

Diri ini cuba untuk bertenang, tatkala ujianNya datang bertandang.

CintaNya datang tiba-tiba, menghulur dengan sapaan yang membuatkanku kehilangan kata-kata untuk membalas sapaan cintaNya.

Ujian tanda Allah cinta, tetapi kenapa huluran cintaNya pahit, tidak semanis yang kita pintakan? Tidak seperti apa yang kita inginkan?

Kadang jadi bingung dan tertanya-tanya, kenapa harus diuji dengan sedemikian rupa?
Kadang diri tidak tertanggung beban rasa, sehingga air mata jatuh jua dalam menahan sebak di dada.

‘Salahkah kita menangis?

Salahkah kita merasa hiba?’

Mungkin ada yang bertanya sedemikian.

Kita cuma hamba biasa, bukan malaikat.

Kita punyai rasa itu.

Rasa sedih, rasa kecewa, rasa hampa, rasa putus asa kerana sememangnya fitrah kita sebagai manusia dibekalkan rasa-rasa itu.

Allah swt telah  anugerahkan rasa itu pada manusia. Yang tinggal cuma bagaimana untuk kita mengawal semua rasa itu.

Tidak salah kita menangis.

Menangis bukan tanda kita lemah. Menangis bukan tanda kita mengalah.

Menangis adalah tanda kita mengakui kekuasaanNya. Mengakui segala takdiranNya.

Antara hati ingin dididik menerima atau tidak, kita perlukan tangisan itu. Untuk menenangkan hati yang gundah, untuk menenangkan emosi yang bergocak gelisah.

Mungkin ada yang masih mampu tersenyum tatkala diuji.

Senyum atau tangis, semuanya adaptasi rasa yang terlahir tika diuji.

Andai mampu tersenyum, senyumlah dengan sepenuh keikhlasan dalam kesabaran. Andai ingin menangis, tangislah dalam ratapan tangis itu dalam sujud kepadaNya.

Walau apapun ujian yang diberikan, cubalah untuk bertabah. Cubalah untuk menjadi kuat, meskipun hati terasa amat rapuh dan goyah…
Firman Allah SWT: “(Allah) yang menciptakan kematian dan kehidupan (di atas dunia ini), buat menguji siapakah dalam kalangan kamu yang lebih baik amal perbuatannya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (al-Mulk: 2)

‘Subhanallah…Maha Suci-Mu Ya Allah…’

Hati kembali beristighfar.
Saya mencuba. Sentiasa ingin mencuba.
Bertenanglah duhai hati. Bertenanglah duhai jiwa.
Itulah yang sering saya bisikkan pada diri.
Di saat hati terasa amat goyah, saya pohon DIA tidak menggoyahkan pegangan ini padaNya.

Walau apapun yang akan terjadi, saya tetap ingin sentiasa berpegang teguh pada ikatan ini. 
Ikatan aqidah yang terpatri, bukan semudah-mudah untuk dilemahkan dengan bisikan-bisikan emosi.
Biarpun pada awalnya diri tidak mampu menahan rasa-rasa yang ada, biarpun cuba menahan  air mata ternyata ia gugur juga.
Pertama, memang saya menangis kerana sedih. Sedih dengan dugaan yang datang itu, tidak mampu saya hadapi dengan hati yang bertenang.

Kemudian saya menangis lagi. Kali kedua, bukan menangis kerana sedih lagi. Tetapi menangis kerana terharu.
Kerana tatkala diri bermuhasabah kembali, air mata keharuan yang mengalir kerana tersedar DIA sedang menujukkan rasa cintaNya pada diri.
Cuma diri yang ingin memilih mahu bersabar atau tidak?

Adakah ingin menerima huluran cinta itu dengan hati yang memberontak?
Sedangkan DIA sedang menghulur cinta. 
Ya. Cinta agungNya.
Cuba tanya kembali, bahagia itu di mana sebenarnya? Bahagia yang hakiki itu ada di dalam jiwa.
Dekat dengan diri, sentuhlah dadamu sendiri, maka engkau akan merasakan betapa ia cukup dekat. Bahagia itu akan hadir bila kita bersyukur dan belajar menerima apa adanya. 
Cuba menerima segala aturanNya. Maka kita sebenarnya sedang menyentuh cahaya bahagia..
Biarlah air mata yang jatuh itu moga dapat menghapuskan rasa gelisah di jiwa. Semoga air mata yang mengalir itulah tanda kekerdilan kita sebagai hambaNya.

Yang selayaknya untuk diuji dan diuji dengan pelbagai dimensi. Namun, ketahuilah sesungguhnya Allah itu Amat Adil.

Tidak akan diberikan ujian itu melainkan DIA Maha Tahu kita mampu memikulnya. Tidak akan ditimpakan ujian itu, melainkan DIA Maha Tahu kita perlukan ujian itu untuk kita terus menjadi hambaNya yang kuat. Kuat dari sudut iman dan ihsan.

Kerana setiap ujian yang hadir, adalah suatu rahmat. Tiada ujian yang buruk, melainkan semuanya adalah ketentuan yang terbaik dari Yang Esa.

Biarpun yang diuji itu ternampak buruk, dan tersangat buruk pada pandangan mata zahir manusia, tetapi andai dilihat dari tembusan mata hati ternyata ianya adalah hikmah dari yang Maha Kuasa.

Hikmah itu tidak akan nampak andai tidak diselak. Hikmah itu tidak akan terzahir andai hati tidak dididik untuk menerima segala ketentuan dan bersyukur dengan pemberiannya.

Benar. Tidak semudah kata bicara. Tidak semudah lafaz yang dikata.

Rasa berat dan perit itu hanya akan dapat dirasa oleh orang yang merasa. Tetapi cubalah ‘menelan’ rasa itu dengan senyuman. 

Meskipun kelat, meskipun pahit, tetapi pasti ada manis yang akan terganti dari rasa pahit itu. Rasa manis dan nikmat itu akan datang di sebalik semua kepahitan. 

Pelangi pasti akan muncul setelah ribut taufan yang melanda. Begitu jua kehidupan ini pasti akan ada bahagia di sebalik semua duka…Yakinlah.!


 “Kita akan diuji dan terus diuji, teruslah bersabar duhai pengejar cinta Ilahi

Makin Allah uji, makin Allah mencintai

Kata cinta kepadaNya, maka buktikanlah cinta itu dengan akur pada setiap takdiranNya”
Kredit to:hikmatul islam

No comments:

Post a Comment

 
This Template Was Made & Design With Love By AisyaAwfiyah. All Right Reserved To Me.