
15 Oktober
adalah tarikh Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 2013. Bagi pelajar Malaysia yang
menuntut di Beijing, kami telah menganjurkan Program Ibadah Kurban di Bandar
Chifeng,Inner Mongolia,China. Di Bandar Chifeng,komuniti Islam dianggarkan
terdapat dalam 2000 orang Muslim. Seperti dua tahun lepas,pelajar Malaysia yang
menuntut di Beijing khususnya akan menghantar beberapa orang pelajar untuk
menjadi wakil kepada ibadah qurban yang ingin dikerjakan oleh pelajar-pelajar
Malaysia. Untuk tahun ini,jumlah kambing bagi ibadah kurban di Chifeng adalah
44 ekor kambing.
Pada tahun
ini,rombongan ke Bandar Chifeng adalah seramai 34 orang termasuk 5 orang wakil
daripada Badan Ugama dan Kebajikan MARA(BUKM). Jadi kali ini adalah julung kalinya
program Ibadah Kurban di Bandar Chifeng disertai oleh Badan Kerajaan serta
rakyat Malaysia yang di Malaysia.
Perjalanan
dari Beijing ke Bandar Chifeng mengambil masa selama 9 jam menaiki
keretapi.Walaupun Bandar Chifeng berada didalam provinsi Inner Mongolia,namun
Bahasa Mandarin masih lagi menjadi bahasa utama pertuturan mereka.Rombongan
kami disambut dengan meriah oleh rombongan komuniti Muslim disana yang diketuai
oleh Penaung Persatuan Islam Bandar Chifeng,Haji Hakim Liu.Haji Hakim Liu
sendiri pernah ke Malaysia beberapa kali sebagai tetamu khas kerana bakatnya
dalam seni khat kaligrafi.
Imam Haji Abdul Hakim bersama Imam Ibrahim.
Imam Haji Abdul Hakim merupakan seorang
pakar kaligrafi islam China yang sangat terkenal dan berpengaruh. Beliau
dahulunya merupakan imam Masjid Niujie ( masjid terbesar di Beijing ).
Chifeng merupakan kampung halaman beliau
dan ibadah korban yang dijalankan oleh pelajar-pelajar Malaysia banyak dibantu
oleh beliau. Walaupun usianya sudah menjangkau 80 tahun, namun kesihatan dan
staminanya masih seperti orang muda.
Hari
pertama kami disana diisi dengan melawat dua buah masjid yang berjauhan dengan
Bandar Chifeng untuk melihat sendiri kesusahan serta keperitan yang dialami oleh
penduduk Muslim disana. Secara amnya,Muslim dinegara China akan menjadikan
masjid yang berdekatan sebagai pusat rujukan dalam segala hal. Perjalanan kami
kesana memberi kesempatan kepada kami untuk memupuk hubungan silaturahim antara
orang Islam disana. Kami juga dimaklumkan masjid yang kami lawati itu turut
mendapat beberapa ekor kambing untuk dikorbankan pada keesokan harinya. Ini
kerana keperitan kehidupan mereka yang agak sukar bagi membeli daging
kambing.Namun segala keperitan yang mereka lalui tidak pernah menjadikan mereka
berputus asa untuk meneruskan kehidupan serta memperjuangkan agama Islam di
bumi tercinta.
Salah sebuah masjid utama di Bandar
Chifeng,Inner Mongolia, dinamakan sebagai QingZhenBeiDaSi(清真北大寺) - Masjid Besar Utara.
Masjid ini dijadikan sebagai Peninggalan
Budaya Utama Negara oleh Kerajaan China pada Mei 2013.
Pada Hari Raya Aidiladha dan perayaan lain,
masjid ini menjalankan solat sunat aidiladha dan juga program korban, binatang
utama yang dikorbankan di sini ialah kambing.
Salah sebuah masjid di perkampungan Muslim
di Chifeng.
Masjid ini mempunyai seorang imam yang
berasal dari NingXia, bernama Imam Ibrahim-27 tahun( berdiri paling tengah).
Beliau dahulunya mendalami ilmu agama di Yunnan, kemudiannya dihantar ke
Chifeng untuk menjadi imam dan khalifah yang menyeru muslimin dan muslimat
untuk berjemaah di masjid dan mengingatkan akan perkara-perkara berkaitan
islam. Apabila ditemubual mengapa beliau sanggup berhijrah dari kampung halaman
dan datang ke Chifeng semata-mata untuk menjadi imam, beliau dengan ringkas
menjawab, “Saya ingin mencontohi sunnah baginda Rasulullah S.A.W. iaitu amar
makruf nahi mungkar”.
Salah seorang pelajar bergambar bersama dua
orang kanak-kanak di perkampungan muslim di Chifeng.
Kebanyakan mereka hidup dalam serba
kekurangan dan pekerjaan utama ayah ibu mereka ialah petani.
Bulan 10 merupakan bulan untuk ibu dan ayah
mereka mengutip hasil tanaman jagung.
Kanak-kanak perempuan di sebelah kanan
berumur 10 tahun.
Pada
keesokan harinya,kami berpeluang untuk merasa sendiri budaya masyarakat Muslim
disini dimana akan berarak ke masjid dengan memegang pewangi seakan colok
sebelum menunaikan solat sunat aidil adha.Selesai usai solat sunat aidil
adha,kami menyaksikan penyembelihan sebahagian kambing pelajar-pelajar
Malaysia. Sebahagian kambing yang lain telah pun diedarkan sehari awal ke
masjid yang berjauhan dengan Masjid Besar Utara Chifeng untuk disembelih
sendiri oleh wakil masjid masing-masing.Kepakaran mereka dalam melapah daging
kambing membuatkan kami terkagum seketika. Kami diberitahu bahawa rata-rata
masyarakat muslim di Bandar Chifeng mengambil kursus melapah daging kambing.
Kemudian
imam besar Masjid Besar Utara memberi sedikit tazkirah dan terus mengimamkan
jemaah solat sunat aidil adha.
Selesai
solat,kesemua jemaah berpusu-pusu ke laman belakang Masjid Besar Utara untuk
melihat ibadah qurban. Kambing-kambing yang akan dikorban telah pun
dikumpulkan. Di Masjid Besar Utara sahaja,25 ekor dkambing adalah sebahagian
daripada jumlah keseluruhan kurban yang dibuat oleh rombongan Malaysia. Jumlah
korban keseluruhan rombongan Malaysia di Chifeng adalah sebanyak 42 ekor
kambing, dan nilai selebihnya telah diagihkan kepada masjid lain untuk
disembelihkan.

Seorang petugas masjid sedang menjalankan
kerja-kerja melapah kambing.
Mengikut maklumat ketua komuniti islam di
Chifeng, tidak semua orang boleh melakukan kerja-kerja melapah ini kerana ianya
harus dipelajari, dan mereka yang bertugas ini semuanya diajar dari generasi ke
generasi, datuk menurunkan ilmu kepada si ayah, si ayah pula menurunkan ilmu kepada
si anak. Jadi, mereka mempunyai skill dan cara melapah yang tidak ada pada
kebanyakan orang, dan masa yang diambil untuk melapah seekor kambing tidak
sampai satu jam, dan seekor kambing pula hanya dikendalikan oleh seorang
petugas sahaja.
Kedatangan
kami setiap tahun juga memberi kemeriahan kepada setiap masyarakat disana untuk
sentiasa bersatu padu dalam setiap perkara terutama dalam kalangan masyarakat
Islam di Chifeng. Mereka juga ada memaklumkan bahawa semenjak dua tahun
lepas,semakin ramai orang ke masjid dan menghadiri aktiviti di masjid kerana
terasa akan persaudaraan antara masyarakat Islam yang tidak kira warna
kulit,bangsa dan negara. Jadi,mereka amat bersyukur dengan kedatangan kami setiap
tahun ke sana dan berharap program ini akan berterusan ke tahun-tahun
berikutnya.
Rombongan
kami berakhir dengan kami menaiki bas selama 7 jam pulang ke Beijing pada
petang Hari Raya Aidil Adha tempoh hari. Setiap ahli rombongan juga diberi
beberapa cenderahati untuk kenangan sepanjang meraikan masyarakat muslim di
sana.Syukur kepada Tuhan atas persaudaraan yang terjalin dan semoga menjadi
kekuatan kepada masyarakat Muslim di negara China khususnya.
Ini merupakan ringkasan sepanjang program disana, pengalaman yang
sangat bernilai dan berharga.. merantau dan melihat dunia ciptaanNya
supaya kita sentiasa ada rasa bersyukur dengan nikmat yang kita dapat..
susah-susah kita ada lagi yang lebih susah.. bersyukurlah dan hargailah
setiap masa yang ada.. Syukran Jiddan buat sahabat-sahabat aisya sebab
sudi baca sampai habis ^_^.. Great Story must be Sharing
Together..InsyaAllah